Dalam saat-saat genting atau kecemasan, kita sering berharap ada alatan atau aksesori yang boleh membantu kita keluar dari situasi yang tidak diingini. Untuk memastikan perjalanan anda lebih tenang dan selamat, berikut adalah senarai aksesori kereta penting yang patut ada di dalam kenderaan sebelum anda memulakan perjalanan.
1. Tukul Cermin Pelbagai Fungsi
Tukul cermin adalah alat keselamatan yang penting. Jika kereta anda terhumban ke dalam parit atau sungai, tukul ini dapat memecahkan cermin dengan mudah. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pisau kecil untuk memotong tali pinggang keselamatan jika terperangkap. Dalam situasi kecemasan, setiap detik amat berharga, dan alat ini boleh menjadi penyelamat nyawa.
2. Alat Pemadam Api
Kebakaran kereta sering berpunca dari masalah litar pintas. Oleh itu, alat pemadam api perlu ada dalam setiap kenderaan. Ia bukan sahaja berguna untuk memadamkan kebakaran pada kereta anda, tetapi juga untuk membantu orang lain dalam kecemasan. Pemadam api jenis ABC dengan 'dry powder' yang bersaiz kecil antara 1kg hingga 2kg adalah pilihan terbaik kerana mudah dibawa dan digunakan.
3. Kit Pertolongan Cemas (First Aid Kit)
Kit pertolongan cemas bukan sahaja penting di rumah, tetapi juga dalam kereta, terutama jika anda sering melakukan perjalanan jarak jauh. Ia amat berguna dalam situasi kemalangan, terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak kecil. Kit ini dapat mengurangkan risiko kecederaan yang lebih serius dan dalam beberapa kes, menyelamatkan nyawa.
4. Jumper Cable
Bateri kereta boleh mati secara tiba-tiba, tanpa mengira masa atau tempat. Untuk mengelakkan anda terkandas, pastikan anda mempunyai jumper cable di dalam kereta. Ini membolehkan anda menghidupkan semula kereta dengan bantuan kenderaan lain. Alternatif lain ialah jumper jenis 'power bank' yang membolehkan anda menghidupkan kereta tanpa bantuan kenderaan lain.
5. Tayar Ganti dan Jack Kereta
Tayar ganti dan jek biasanya disediakan oleh pengeluar kereta. Pastikan tayar ganti anda dalam keadaan baik dan mempunyai angin yang mencukupi. Kerosakan tayar semasa perjalanan boleh membantutkan perjalanan anda, jadi periksa tayar ganti secara berkala untuk memastikan ia dalam keadaan siap sedia.
6. Segi Tiga Amaran
Segi tiga amaran (triangle emergency warning sign) amat penting dalam situasi kecemasan atau kerosakan. Letakkan tanda ini kira-kira 45 meter di belakang kenderaan yang rosak untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya yang lain, terutamanya pada waktu malam. Ini dapat mengelakkan kemalangan lanjut akibat kenderaan lain yang tidak menyedari kereta anda berhenti di tepi jalan.
7. Kamera Papan Pemuka atau Dashcam
Kamera papan pemuka atau dashcam sangat berguna untuk merakam perjalanan anda. Ia boleh menjadi bukti penting jika anda terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kadang-kadang, pemandu lain mungkin tidak mengakui kesalahan mereka, dan ketiadaan saksi atau kamera jalan raya boleh menyukarkan situasi. Dashcam dapat membantu memastikan anda mempunyai bukti yang diperlukan.
8. Jerry Can atau Tangki Simpanan
Botol plastik tidak selamat untuk menyimpan cecair dalam kereta kerana pendedahan kepada cahaya matahari boleh menghasilkan bahan kimia berbahaya. Jerry can adalah pilihan yang lebih baik kerana diperbuat daripada bahan yang sesuai untuk menyimpan cecair seperti air dan minyak. Pilih saiz yang sesuai dengan keperluan anda, supaya tidak terlalu besar sehingga disyaki menyeludup minyak.
Dengan memiliki aksesori-aksesori ini di dalam kereta anda, anda dapat menghadapi sebarang kecemasan dengan lebih tenang dan bersedia. Jangan tunggu sehingga sesuatu yang buruk berlaku, pastikan kenderaan anda dilengkapi dengan semua alatan penting ini sebelum memulakan perjalanan. Selamat memandu dan sentiasa beringat!