Thursday, 6 January 2022

BELI KERETA BARU ATAU KERETA TERPAKAI: MANA LEBIH BAIK?

 



Kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya yang menetap di kawasan bandar, lazimnya memiliki sekurang-kurangnya sebuah kereta. Adalah wajar untuk disimpulkan bahawa sebab utama untuk memiliki kenderaan sendiri adalah untuk memudahkan urusan perjalanan. Bagi segelintir masyarakat, menggunakan kenderaan awam untuk perjalanan setiap hari bukanlah sesuatu yang mudah. Kebanyakan kereta di negara ini agak mahal, terutamanya kereta import yang memerlukan pembayaran pelbagai cukai tambahan. Jadi, anda tentu tertanya-tanya sama ada beli kereta baru atau beli kereta terpakai, dan cara terbaik beli kereta untuk ada.

Jawapannya bergantung pada situasi anda. Berikut adalah antara soalan penting yang anda patut tanya pada diri sendiri sebelum membeli kereta.

1. Apakah bajet keseluruhan saya untuk sebuah kereta?

2. Adakah saya mampu bayar 10% bayaran pendahuluan untuk kereta tersebut?

3. Adakah saya layak untuk mohon pinjaman sewa beli (termasuk pinjaman yang sedia ada)?

4. Adakah saya mampu bayar insurans dan cukai jalan tahunan?

5. Berapa lamakah saya ingin simpan kereta tersebut?

6. Apakah tujuan saya memiliki kereta lain?

Soalan-soalan ini adalah penting. Tanya diri anda soalan-soalan ini untuk mengelakkan diri anda daripada melakukan kesilapan yang besar. Sebagai contoh, jika anda mempunyai ahli keluarga yang ramai, anda mungkin ingin cari kereta yang lebih besar seperti sebuah SUV, MPV atau sebagainya.

Akan tetapi, jika anda seorang yang suka mengubahsuai atau 'modify' kereta, anda lebih sesuai membeli kereta terpakai kerana tidak perlu berasa bersalah atau sayang untuk menggantikan bahagian-bahagian kereta tersebut. Mari kita lihat perbandingan kereta baru dan kereta terpakai dari segi harga, kos penyelenggaraan, pinjaman dan cukai jalan dan insurans.


1. HARGA

Kereta terpakai secara amnya lebih murah berbanding kereta baru. Harga kereta baru menyusut dengan cepat dan boleh mencapai 50% nilai asal kereta dalam masa 5 tahun sahaja. Marilah kita lihat perbandingan antara kereta baru dan terpakai. Kami akan memilih jenama dan model kereta paling digemari oleh rakyat Malaysia sebagai contoh.

Kereta Baru

 

Harga

 

Kereta Terpakai

 

Harga

Perodua Myvi 1.5 LH 2021

RM50, 530

Perodua Myvi 1.5 SE 2021

RM27, 800

Perodua Axia 1.0 G 2021

RM32, 485

Perodua Axia 1.0 G 2014

RM21, 000

Honda City 1.5 S 2021

RM74, 191

Honda City 1.5 S 2013

RM42, 800


2. KOS PENYELENGGARAAN

Untuk kereta yang melebihi 5 tahun umurnya, kos penyelenggaraan dijangka meningkat. Secara puratanya, jangka hayat kereta adalah sekitar 12 tahun mengikuti kajian pada tahun 2018. Ini bermaksud kereta yang lebih tua daripada 12 tahun akan kerap mempunyai isu teknikal yang perlu ditangani dan ini akan memerlukan perbelanjaan yang lebih untuk kos penyelenggaraan.

Tambahan pula, kebanyakan penjual kereta di Malaysia hanya menawarkan servis waranti perlindungan asas untuk kereta baru selama 5 tahun atau 100,000km servis waranti. Sebagai contoh, Honda menawarkan 5 tahun servis waranti untuk model terbaru mereka. Jadi semua kos pembaikan atau penyelenggaraan selepas tempoh ini anda terpaksa tanggung sendiri.

Oleh itu, anda perlu menyediakan dana untuk situasi tidak dijangka seperti kerosakan kereta yang memerlukan major service yang mahal. Anda mungkin akan dikenakan bil yang mahal untuk sekali servis dan jika anda tidak mempunyai dana yang cukup, anda boleh gunakan pelan ansuran seperti Pembiayaan Auto Servis kereta anda. Dengan pelan ini, anda tidak perlu risau akan bil yang mahal kerana anda boleh bahagikan jumlah bil servis kereta kepada 3 atau 6 bulan.

3. PINJAMAN

Kereta yang bernilai kurang daripada RM10,000 kemungkinan boleh dibeli dengan tunai dan anda tidak perlu mengambil pinjaman sewa beli daripada bank. Pinjaman yang diambil untuk kereta terpakai biasanya mengenakan faedah yang lebih tinggi, sekitar 3 - 4.45%* manakala pinjaman untuk kereta baru mengenakan faedah serendah iaitu 2.5%* setahun.

Anda juga perlu mempertimbangkan sama ada anda mampu mengambil pinjaman kereta kerana bayaran bulanan tidak sepatutnya melebihi 60% daripada pendapatan anda.

Namun, jika anda merupakan kakitangan kerajaan anda mempunyai alternatif pembiayaan lain iaitu pinjaman peribadi bank dan koperasi. Anda boleh membeli kereta terpakai dan motosikal dengan kadar lebih murah serendah 2.69%. Anda juga tidak perlu menyediakan sebarang cagaran ataupun pinjaman untuk memperolehi pembiayaan tersebut.

4. CUKAI JALAN DAN INSURANS

Di samping pinjaman yang mungkin anda perlukan, anda perlu juga berfikir sama ada anda mampu membayar cukai jalan dan insurans kereta yang anda beli itu. Insurans dan cukai jalan biasanya bertambah jika kereta baru atau kereta import manakala kereta terpakai biasanya mempunyai insurans dan cukai jalan yang lebih rendah.

Berikut merupakan jadual perbandingan tahap insurans berdasarkan umur kereta dan model. Anggaran dibuat berdasarkan liputan komprehensif yang standard tanpa polisi tambahan lain dengan penggunaan kalkulator.

Kereta Baru

Premium Insurans

Kereta Terpakai

Premium Insurans

Perodua Myvi 1.5 LH 2021

RM1, 593

Perodua Myvi 1.5 SE 2021

RM1, 002

Perodua Axia 1.0 G 2021

RM1, 092

Perodua Axia 1.0 G 2014

RM826

Honda City 1.5 S 2021

RM2, 208

Honda City 1.5 S 2013

RM1, 392


Untuk cukai jalan, bayaran adalah sama untuk kedua-dua kereta baru dan kereta terpakai. Untuk kenderaan 1.0cc di Semenanjung Malaysia, bayaran setahun adalah RM55 manakala untuk kenderaan 1.5cc adalah RM90.

 

PATUTKAH SAYA MEMBELI KERETA BARU ATAUPUN KERETA TERPAKAI?

Kedua-dua kereta baru dan kereta terpakai mempunyai kebaikan dan keburukan masing-masing. Kereta baru biasanya dapat reputasi buruk kerana harga mereka menyusut dengan cepat tidak seperti rumah atau harta benda lain. Tetapi kereta baru dapat berfungsi lebih lama berbanding kereta terpakai.

Selain itu, kereta terpakai adalah lebih murah dari segi harga di mana anda mempunyai pilihan untuk membeli kereta dengan tunai. Beli kereta terpakai jika anda tidak kisah untuk memandu kereta modal yang lebih lama dan tidak mahu menghabiskan masa dan wang untuk jaga kereta anda. Selain itu, anda juga tidak perlu jika nilai kereta akan menyusut.

TIPS BELI KERETA TERPAKAI

Bagi yang tidak berkemampuan untuk membeli kereta baru, kereta terpakai juga boleh menjadi suatu pelaburan jangka masa panjang yang menguntungkan jika kena dan betul caranya.

Walaupun begitu, harus diingat juga yang ia boleh menjadi suatu kerugian dan bebanan jika tidak dirancang dengan betul.

1. Menetapkan Bajet

Menetapkan bajet bersesuaian mengikut tahap kewangan dan kemampuan perlu dilakukan sebelum membeli sebarang kereta terpakai atau second hand.

Sebagai contoh, membeli pada harga di bawah RM100,000 menetapkan had bayaran bulanan pinjaman seperti RM500 sebulan dengan tempoh bayaran sehingga 5 tahun bergantung kepada komitmen bulanan masing-masing.

2. Mengenal Pasti Usia Kereta

Mengenal pasti atau menetapkan usia kereta terpakai yang ingin dibeli juga penting. Sesuaikan carian mengikut keadaan semasa kewangan dan pilihan anda.

Bagi mengelakkan rambang mata, cuba kecilkan skop pilihan anda dan teliti semula bajet yang telah ditetapkan agar tidak tersasar dan membebankan.

3. Mengambil Tahu Sejarah Kereta


Sejarah kereta menjadi salah satu perkara penting sebelum anda membuat keputusan membeli mana-mana kereta terpakai.

Selidik terlebih dahulu sama ada kereta yang anda berkenan itu pernah ditenggelami banjir, banyak kali bertukar pemilik, terlibat kemalangan besar atau mempunyai had perbatuan terlalu tinggi.

Luaran sahaja kelihatan cantik tidak menggambarkan keseluruhan isinya, jangan pula anda merana di kemudian hari!

4. Mengukur Had Perbatuan (mileage)

Jika anda ingin membeli kereta terpakai, pastikan kereta yang dipilih itu mempunyai ukuran had perbatuan yang rendah atau sederhana.

5. Melakukan Survey Secara Dalam Talian

Kini, informasi mengenai kereta terpakai boleh didapati secara dalam talian tanpa perlu ke mana-mana premis.

Pelbagai platform dalam talian membolehkan anda menetapkan tapisan (filter) mengikut kesesuaian dan keperluan anda.

Hanya perlu masukkan bajet yang ditetapkan dan sistem akan memaparkan pilihan model kereta yang terpakai yang berada dalam lingkungan bajet anda.

Elakkan terpukau atau tergoda dengan kata-kata yang ditawarkan oleh premis kereta terpakai. Berkemungkinan skil dan kemahiran memujuk dimiliki mereka menyebabkan anda terperangkap dan membeli tanpa menitikberatkan soal bajet.

6. Meneliti Jadual Servis

Cari pemilik kereta yang setia menggunakan perkhidmatan pusat servis jenama masing-masing dan diservis secara konsisten mengikut jadual. Pusat servis akan merekodkan sejarah servis menggunakan sistem tersendiri.

Anda boleh meminta rekod penyelenggaraan atau resit alat ganti daripada pemilik sebagai bukti sekiranya pemilik ada berurusan di bengkel biasa. Ini penting untuk mengetahui jenis alat ganti yang ditukar atau mempunyai kerosakan tertentu.

Sekiranya anda seseorang yang pelupa, anda boleh download aplikasi SERV untuk memudahkan anda memantau sendiri dan semak rekod sejarah servis kereta. Anda juga boleh menggunakan SERV untuk membuat temu janji secara online dengan bengkel berdekatan.

7. Memeriksa Bahagian Luar dan Dalam Kereta Serta Kelengkapan Asas Lain

Anda perlu memeriksa dan memastikan sama ada terdapat sebarang kerosakan. Sekiranya terdapat kerosakan pada mana-mana bahagian dan pemilik tidak mahu mengeluarkan kos untuk membaikinya, cubalah berunding untuk mendapatkan diskaun agar tidak menelan belanja yang besar.

Pastikan juga peralatan atau kelengkapan asas lain seperti wiper, lampu, soket, signal, penyaman udara, hon kereta, radio, pintu, cermin sisi, bonet, picu tangki minyak, tayar simpanan, panel meter dan sebagainya dalam keadaan berfungsi serta baik.

8. Memeriksa Enjin dan Melakukan Pandu Uji


Enjin merupakan komponen yang penting bagi sesebuah kereta. Sekiranya anda kurang berpengetahuan, minta bantuan rakan yang mahir mengenainya atau rujuk sahaja ke mekanik.

Mekanik boleh memastikan sama ada enjin berfungsi dalam keadaan baik selain mengesan sama ada terdapat kesan minyak bocor, keadaan radioto, tiada kabel sambungan yang reput atau terputus, tiada komponen tertanggal serta minyak enjin.

Anda juga mempunyai hak untuk memandu uji kereta yang ingin dibeli untuk mengetahui tahap kepuasan dan keyakinan.

Anda boleh menguji kemampuan brek, stereng, pemanduan di pelbagai kawasan dan kelajuan termasuk gear kereta.

Dengan sedikit info yang Tentang Roda kongsikan ini diharap dapat membantu anda semua untuk membuat perbandingan dan membuat keputusan yang terbaik sama ada membeli kereta baru atau kereta terpakai. Jangan lupa share kepada rakan-rakan anda! :)


No comments:

Post a Comment

The Contents

Cecair Penting yang Diperlukan Kereta Anda untuk Berfungsi dengan Baik

Apakah anda tahu bahawa menjaga tahap cecair dalam kereta adalah satu perkara yang sangat penting untuk memastikan ia terus berjalan dengan ...